Wednesday, May 4, 2011

Kemala dinobat sebagai Sasterawan Negara Ke-11

“Karyanya terutama puisi bukan saja diminati dan menjadi ikutan kepada generasi baru, malah diminati sama oleh sarjana dalam dan luar negara,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Kemala menewaskan 13 calon lain termasuk lima calon baru yang diterima Sekretariat ASN pada tahun lalu, selain sembilan calon daripada pencalonan sebelum ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, karya Kemala terutama puisi juga sudah diterjemah ke dalam banyak bahasa asing seperti bahasa Cina, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovania, Sepanyol dan Serbo-Croatian.
“Tokoh ini juga mendapat banyak anugerah serta penghargaan dari dalam dan luar negara, antaranya Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA) daripada Kerajaan Thailand pada 1986; Anugerah Pujangga daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM).

“Beliau juga mengasaskan Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia pada 1993 dan tradisi baca puisi di Malaysia yang dimulakan dengan Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (1986),” katanya.

Sementara itu, Kemala berkata, pemilihannya dapat membakar semangatnya untuk terus menghasilkan karya lebih bermutu kepada negara, meskipun berdepan dengan masalah kesihatan yang memaksanya mendapatkan rawatan sekali setiap tiga bulan.

“Ia memang mengejutkan juga kerana saya pun tidak menaruh harapan besar, sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada kerjaya di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan menerbitkan buku,” katanya kepada Berita Harian.

Di sebalik penganugerahan itu, Kemala berharap sarjana dan media terus menjadi jambatan kepada pembaca untuk memahami puisinya dalam keadaan masyarakat dilanda cabaran sains dan teknologi serta cabaran keilmuan, selain budaya popular.

“Kita lihat puisi Jalaluddin ar-Rumi ditafsirkan oleh sarjana sehingga ketokohan pengarang itu dihormati kerana idealismenya. Media boleh membimbing pembaca untuk memahami puisi,” katanya.

Kemala yang dilahirkan di Gombak dan kini Sarjana Tamu di UPM, menghasilkan 11 kumpulan puisi; antologi puisi (25); kajian sastera (10); kumpulan cerpen (4); antologi cerpen (8); drama (4) dan cerita kanak-kanak (3), selain 50 esei serta kritikan sastera.

Karya terbarunya ialah kumpulan puisi, Seribu Pantun Puitis dan kumpulan esei, Landskap Ungu serta Simbolisme dalam Puisi Islam di Malaysia 1970-1990, manakala kumpulan puisi, Sum-sum Bulan Rawan dan kumpulan cerpen, Laut Takjub akan diterbitkan.

www.bharian.com.my

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez