Sunday, December 19, 2010

Antara sejarah, setia dan bakat

Secara kebetulan pula, saya berkesempatan mengikuti Persidangan Nasional Paradigma Baru Perpaduan Bangsa yang dianjurkan oleh Majlis Profesor Negara di bawah kluster sejarah, warisan dan sosio-budaya. Saya mengikuti pembentangan sejarah asas Tanah Melayu daripada profesor tersohor negara yang begitu meyakinkan. Yang saya pelik, kenapa profesor tersohor sejarah ini tidak dicari oleh wartawan media tersebut? Sedangkan kajian mereka terhadap bahan sejarah Melayu merentasi sempadan sehingga ke luar negara. Begitulah dalamnya mereka menggali ilmu sejarah dengan melakukan penyelidikan rapi. Negara kita juga mempunyai profesor sejarah tersohor bukan Melayu seperti Tan Sri Khoo Kay Kim. Kenapa pendapat beliau tidak diminta? Jawapannya mudah, pendapat Khoo Kay Kim tidak selari dengan media perkauman tersebut. Inilah perancangan halus yang mesti diketahui oleh kita semua.

Trend pemberitaan stereotaip media sebegini sudah dijangka. Bukan suatu perkara baharu. Semua yang dilakukan kerajaan tidak betul. Niat mereka hanya satu, mahu memastikan kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada pilihan raya akan datang, selepas itu mudahlah mereka untuk mengubah fakta dan sejarah. Sebelum tibanya hari pilihan raya itu, maka tekanan demi tekanan diberikan kepada kerajaan, bagi "membuka" hati rakyat agar menolak BN.

Bagi memenuhi niat serakah tersebut, setiap ucapan pemimpin-pemimpin BN akan dinilai dan diberikan perhatian satu-persatu. Tersalah cakap, buruk padahnya, akan segera disensasikan dan dipaksa supaya meminta maaf. Sedangkan Namewee, bukan sahaja tidak disuruh minta maaf, malahan disanjung dan dijunjung. Apakah kita masih buta?

Perlu diingatkan bahawa sejarah negara tidak hanya boleh dirujuk kepada perjuangan menentang Jepun dan komunis semata-mata. Begitu juga dengan sumbangan Yap Ah Loy dalam membangunkan Kuala Lumpur, tetapi semua itu tidak percuma. Setiap usaha dibalas dengan kekayaan hasil bumi bertuah ini.

Berbeza dengan mereka yang mempertahankan tanah air daripada berterusan dijajah sehingga nyawa menjadi gadaian. Sumbangan siapakah yang lebih besar dan patut ditonjolkan? Saya tidak fikir perjuangan menentang komunis dan Jepun itu perlu diperbesarkan sangat. Ini disebabkan ada sejarah tersurat dan tersirat yang perlu kita kaji di sebalik penentangan ini, yang kadangkala sengaja disembunyikan bagi menonjolkan kehebatan tokoh-tokoh tertentu yang dipilih. Saya tidak perlu ceritakan kerana saya telah jelaskan dalam artikel-artikel yang lalu, seperti kenapa Jepun memusuhi Cina (bukan Melayu) dan kenapa komunis serta MPAJA menentang Jepun?

Sebab-musabab ini perlu juga dijelaskan dengan rapi. Apakah benar tokoh-tokoh ini mempertahankan tanah air atau mempertahankan diri semata-mata? Adakah semangat nasionalisme mereka sebegitu kuat berbanding Leftenan Adnan dan Kanang anak Langkau (Iban Sarawak). Sudah tentu saya tidak perlu ceritakan tokoh-tokoh lain sebelum itu seperti Banting, Sharif Masahor, Rentap (Sarawak), Mat Salleh dan Antanum (Sabah). Saya sengaja tidak menyebut tokoh-tokoh Melayu bagi mengelakkan saya dituduh lebih Melayu dari Melayu.

Tahun lalu, perkara yang sama dibangkitkan, termasuk ketua pemuda MCA. Segelintir ultra kiasu ini tidak habis-habis mahukan watak seperti Lim Bo Seng, Gurchan Singh dan Sybil Karthigesu direkodkan sebagaimana Leftenan Adnan yang diberikan perhatian berserta fotonya sekali.

Cubalah buat perbandingan bagaimana Singapura menunggang terbalikkan sejarah negeri itu yang menjadi sebahagian Tanah Melayu suatu ketika dahulu dan kedudukannya di kepulauan Melayu? Sehinggakan sikap ultra kiasu turut diwasiatkan oleh mendiang Madam Kwa (isteri Lee Kuan Yew), mengingatkan suaminya sebelum meninggal, supaya jangan percayakan UMNO dan orang Melayu. Begitu dahsyatnya golongan Belanda minta tanah ini memutarbelitkan sejarah bumi Melayu.

Saya mengagumi ramai ahli sejarah yang kononnya "berwibawa" melakukan kerja-kerja penyelidikan dan penerbitan sejarah dengan begitu baik. Apa yang menggusarkan saya adalah mengenai tujuan tersirat dan tersurat yang pada permukaannya nampak begitu baik, namun di sebaliknya terselit agenda tertentu. Memang tidak dinafikan juga ramai tokoh sejarah yang layak ditonjolkan. Namun, jika semua individu tertentu mahu dimasukkan, atas dasar semangat 1Malaysia, dibimbangi sudah tidak jadi buku teks lagi.

Catatan sejarah

Agaknya pada bahagian manakah dalam banyak-banyak catatan sejarah negara ini yang sebenarnya ada dalam minda kumpulan ultra ini? Bagaimana pula dengan era sebelum kependudukan Jepun? Adakah ia tidak penting disebabkan hanya orang Melayu sahaja yang mempertahankan tanah air ini daripada penjajah British, Belanda dan Portugis. Apakah pada pandangan "ahli sejarah" tersebut? Berapa ayat atau halamankah yang perlu dituliskan?

Sorotan semua peristiwa sebegini sepatutnya membuka mata kita semua bahawa kita jangan terlalu berharap kepada orang lain untuk membangunkan bumi tercinta ini. Biarlah mereka yang faham sejarah dan yang setia sahaja yang tinggal. Kita perlu menghargai mereka yang setia, kerana setia itu adalah asas kepada patriotisme.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan keseronokan dan kebebasan, biarkan sahaja. Saya yakin, Perdana Menteri mahukan bakat yang berada di luar itu mempunyai semangat patriotisme yang tinggi kepada negara. Walaupun mereka berada di luar, mereka tidak pernah memburuk-buruk negara kita. Berbanding dengan mereka yang berada di dalam negara, tetapi menjadi duri dalam daging dan musang berbulu ayam.

Saya tidak kisah sama ada mereka yang bekerja di luar negara akan kembali atau tidak, kerana pada saya kesetiaan kepada negara itu yang paling penting, berbanding tenaga yang mengalir ke luar. Apa ertinya tenaga tersebut dipanggil balik jika kesetiaan tidak ada dan asyik mengungkit agar perkara-perkara sensitif dihapuskan. Itu lebih bahaya daripada mereka terus tinggal di luar negara. Jika kesetiaan itu sudah tiada, balik pun tidak ada ertinya. Kerana semangat patriotisme bermula dengan kesetiaan.

Biarlah mereka mencari kebahagiaan di luar sana. Saya yakin mereka yang setia akan kembali jua akhirnya. Mungkin buat masa ini mereka ada komitmen dan perancangan tertentu. Yang perlu dipanggil balik adalah mereka yang setia, bukannya yang ultra kiasu dan tidak mengenang budi.

Saya yakin, pandangan saya ini akan dikatakan sebagai merosakkan gagasan 1Malaysia. Hari ini gagasan 1Malaysia tidak lagi dilihat sebagai pelan tindakan kerajaan untuk membangunkan dan menyatupadukan rakyat mengikut fakta sejarah, tetapi gagasan ini dijadikan batu loncatan untuk mendapatkan kepentingan dan nafsu kaum masing-masing.

Buktinya begitu jelas, DAP mencabar Perdana Menteri supaya melantik bukan Melayu menjadi Timbalan Perdana Menteri. Sedarlah diri wahai DAP, bumiputera Sabah dan Sarawak lebih layak untuk jawatan tersebut. Saya cadangkan pemimpin DAP tersebut membawa idea ini ke China atau India, supaya mendesak mereka melantik Timbalan Perdana Menteri di kalangan bangsa yang sama tetapi beragama Islam? Apakah pandangan ini akan diterima?

Sama juga desakan MIC supaya kerusi menteri penuh diberikan kepada presiden MIC yang baru dilantik, tanpa menganggu-gugat jawatan menteri Kabinet wakil India yang sedia ada. Persoalan saya, kerusi siapakah yang patut dikorbankan? Fikir punya fikir, akhirnya kerusi UMNO juga yang menjadi mangsa kerana orang lain sudah tentu tidak mahu mengalah? Sedikit diambil maka hebohlah satu Malaysia.

Berpada-padalah wahai rakyat 1Malaysia. Kerusi yang dimenangi oleh MCA dan MIC majoritinya adalah undi ehsan orang Melayu.

Dr Mohd Ridhuan Tee
utusan.com.my

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez