Friday, September 16, 2011

Pemansuhan ISA

“Seperti mana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa saya mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa ISA akan dikaji secara komprehensif. Sehubungan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa ISA akan dimansuhkan terus,’’ kata Perdana Menteri.

Najib berkata, melalui undang-undang baru itu kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara.

“Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

“Undang-undang baru ini juga akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah,’’ ujarnya

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, undang-undang berkaitan keganasan masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.

Di dalam ucapannya itu beliau berkata, kerajaan turut memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

“Kuasa untuk melanjutkan penahanan juga akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecuali undang-undang berkaitan keganasan,’’ katanya lagi.

Beliau menambah, kerajaan juga tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak relevan.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, kajian semula terhadap beberapa undang-undang negara secara lebih komprehensif turut melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Bagi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan sebaliknya akan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga ia dibatalkan,’’ katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan,

Namun katanya, kebenaran berhimpun diberikan selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak di samping mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

www.utusan.com.my

Thursday, September 8, 2011

Misi pemahaman sejarah agenda utama

Ditanya sama ada isu putar belit sejarah seperti isu Bukit Kepong yang sedang menjadi isu besar di tanah air sekarang, juga perlu diperjelaskan di United Kingdom semasa dialog dan forum itu nanti, Zakaria berkata, jika ada keperluan beliau – sebagai perantara kepada forum khas itu akan membangkitkan isu berkenaan.

“Selain mengadakan penerangan secara perjumpaan fizikal, pendekatan menggunakan Internet juga akan dilakukan untuk mengembalikan penghayatan sejarah negara,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Forum bertajuk Kemerdekaan 54 Tahun: Membina Satu Bangsa, Berkongsi Satu Matlamat itu akan disertai oleh Profesor Ulung dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Pengarah Eksekutif Institut Pengajian Strategik Antarabangsa Islam (ISIS), Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin manakala Zakaria bertindak sebagai perantara.

Tambah Zakaria, ahli akademik dipilih sebagai panel supaya tidak timbul prasangka politik kerana ahli akademik dilihat bebas dan telus dalam menyatakan pandangan masing-masing.

Bagi program dialog, Muhyiddin sendiri akan hadir dan berdialog dengan rakyat Malaysia yang hadir. Kedua-dua program diadakan di Hyatt Regency di Churchill, London pada hari Jumaat ini. Seramai 300 orang dijemput menghadiri forum itu.

Pada sebelah tengah harinya, Muhyiddin akan bersolat Jumaat dengan hadirin di pejabat Pesuruhjaya Tinggi di sini.

Daripada 70,000 rakyat Malaysia di seluruh United Kingdom, 14,000 ialah pelajar tajaan persendirian dan kerajaan, sementara bakinya adalah pelbagai status.

Kata Zakaria, ada rakyat Malaysia yang telah lama menetap di United Kingdom, telah terhakis sedikit sedikit pengetahuan mereka tentang sejarah negara sendiri.

Timbalan Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja ke UK, dari 8 hingga 11 September. Selain berdialog dengan rakyat Malaysia, Muhyiddin akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Kolej Fesyen London di Universiti Kesenian London, Prof. Frances Corner, bersolat Jumaat bersama komuniti Malaysia di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London dan melawat Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford.

Kata Zakaria, tujuan utama lawatan Timbalan Perdana Menteri adalah untuk menghadiri Karnival Merdeka Ke-54, iaitu salah satu sambutan Hari Kemerdekaan pada setiap tahun di UK.

‘‘Acara ini selalunya akan menarik ramai rakyat Malaysiadi London ke pejabat Peuruhjaya Tinggi di sini,’’ katanya.

Karnival Kemerdekaan diadakan pada Sabtu, 10 September ini. Beliau menjemput semua rakyat Malaysia di United Kingdom datang ke pejabatnya untuk meraikan Hari Lebaran dan Kemerdekaan. Beliau turut membuka ruang untuk menyelesaikan pelbagai isu berkaitan kerakyatan warga Malaysia, dan bercadang mengadakan program ‘ala pemutihan’ bagi tujuan penyelesaian. – UTUSAN

Sunday, September 4, 2011

Surat Raffles kepada Raja-Raja Melayu

Beliau mendapat kenaikan pangkat manakala Lord Minto, Gabenor-Jeneral India melantiknya sebagai wakil ke negeri-negeri Melayu di Melaka. Beliau ditugaskan membuat persiapan untuk menyerang Pulau Jawa yang dikuasai oleh Belanda. Dari Melaka mulai Disember 1810 beliau mengadakan pelbagai gerakan pengintipan rahsia untuk mempastikan kekuatan tentera Belanda di Jawa.

Dalam surat-suratnya kepada raja-raja di Gugusan Kepulauan Melayu, beliau memohon sokongan persahabatan mereka, iaitu tidak menjalin persahabatan dengan Belanda. Dalam surat kepada Sultan Palembang, beliau meminta Sultan menghalau Belanda dari wilayah-wilayahnya.

Kisah bersambung: Raffles berlepas dari Melaka pada 18 Jun, 1811 bersama angkatan tentera seramai 11,000 orang bersama Lord Minto. antara 100 buah kapal ialah sebilangan kapal-kapal perang.

Pada waktu dulu penulis-penulis surat Melayu dikehendaki benar-benar menguasai sastera Melayu, menulis tulisan Jawi dengan baik dan mengetahui bahasa Arab serta agama Islam. Penting ialah kelebihan menulis puji-pujian yang menyentuh konsep “budi” budaya Melayu.

Permulaan surat raja Melayu mengandungi kata-kata dalam bahasa Arab dan beberapa ayat Quran. Terserlah ialah diplomasi Melayu selaras dengan “budi” orang Melayu. Antara kandungan surat Sultan Alauddin Jauhar Alam Syah (Aceh).

“Alhamduillah al-ladhi ala abdi al-kitab ........ Hatta kemudian dari itu banyak salam baik akan sahabat beta Paduka Seri Lord Minto ....... beta punya kapal telah bertemu dengan orang kapal perang Inggeris; di suruh turun bendera kita dan tanda beta. Kemudian ia usik-usik akan kapitan kapal beta, diambil khalasi. Mengapa begitu ia diperbuat.”

Jelas bahawa ada kalanya raja Melayu juga menyampaikan aduan mengenai tindak-tanduk petugas kapal Inggeris. Menurut satu laporan lain Sultan Alauddin tahu bercakap dalam bahasa Inggeris dan sedikit-banyak mengetahui budaya orang-orang Barat.

Sepucuk surat dari Raden Muhammad Ibrahim (Aceh) kepada kerani Raffles, antara lainnya: “Saura hamba pun ketahui perintah dunia ini; jika ada rial ditangan kita segala kerja yang susah-susah jadi mudah.”

Surat dari Sultan Syarif Kassim (Pontianak) kepada Raffles di Melaka di antara lainnya: “Jika boleh dengan bolehnya sahabat kita tolong seboleh-bolehnya kerja habis itu perompak-perompak dan lanun. Segala yang kerja jahat-jahat sama orang dagang itu ketika ini semuanya ada berkumpul dalam negeri Sambas.”

Dari Banten (Jawa) pula Pangeran Anom dan Pangeran Ahmad: “Waba’adah raja-raja Inggeris, saya minta tolong kepada raja-raja Inggeris menembak Pulau Merak dan lagi menembak Anyer.”

Warkah dari Sultan Ceribon (Jawa) kepada Raffles: “Inilah surat yang tulus serta ikhlas yang keluar dari hati yang putih ....... Saya pun menanti-nanti tolongan dari kompeni Inggeris ...... Saya kedua memintakan biar segera kompeni Inggeris menyuruh kapal perang menolong daripada kerosakan saya dan negeri saya, mengambil sekalian orang Holanda yang di dalam negeri Jawa.”

Surat-surat seterusnya diterima dari Ratu Gusti Wayahan Korong-Asem (Bali): “Bahawa ini surat yang terbit daripada nur al-qalub yang amat gilang-gemilang akan memberi terang benderang pada antara segala makhluk ...... Maka kita pintak kepada saudara apa-apa saudara punya suka yang di tanah Bali itu melainkan saudara kirim surat kepada iaitu seboleh-bolehnya kita carikan.”

Untuk faedah semua pihak surat-surat tulisan Jawi itu disiarkan dalam tulisan Rumi. Kerana, dewasa ini ada orang-orang Melayu tidak tahu baca jawi lagi.

www.utusan.com.my

Hilangnya pejuang bahasa Melayu

Ada sesetengah pihak menganggap pejuang bahasa Melayu menolak bahasa Inggeris kerana mereka tidak mahir bahasa Inggeris. Ini salah sama sekali kerana banyak pejuang bahasa Melayu mahir bahasa Inggeris. Hassan juga mahir berbahasa Inggeris. Tetapi mahir berbahasa Inggeris bukan bermakna mahu menggantikan kedudukan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Buktinya Hassan bukan seorang yang menentang bahasa Inggeris, cuma yang ditentang ialah merendahkan kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Hassan mendapat pencapaian peribadi tertinggi sebagai Duta Malaysia ke UNESCO pada 1988. Tetapi baginya , kejayaan sebenarnya ialah apabila berjaya meletakkan kedudukan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan. Bagaimanapun hingga hari terakhirnya bahasa Melayu terus dipinggirkan termasuk kalangan pemimpin Melayu sendiri.

"Dasar Bahasa Kebangsaan kita semakin melemah. Ini memusnahkan nilai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sedangkan selama 30 tahun bahasa Melayu sudah terbukti mampu melahirkan banyak ahli sains dan perubatan serta pakar-pakar dalam pelbagai bidang," demikian tegas kepada saya dalam satu wawancara pada tahun 2009 mengenai bahasa Melayu.

Jawatan

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1976 hingga 1988 ini seorang yang sangat mencintai bahasa Melayu. Buktinya Hassan sanggup meletak jawatan sebagai Penolong Pegawai Daerah Pontian pada 1962 untuk menjadi Pegawai Penyelidik di DBP pada 1963. Kalau memilih kedudukan dalam masyarakat, Allahyarham tentunya tidak meninggalkan jawatan itu untuk menjawat jawatan yang lebih rendah dan tidak popular.

Walaupun Hassan pulang terlalu awal dalam keadaan bahasa Melayu yang merempat di negara sendiri, setidak-tidaknya meninggalkan satu jalur perjuangan kebahasaan dan kesusasteraan kepada generasi selepasnya. Hassan tidak pernah jemu dengan perjuangan bahasa Melayu yang selalu menemui jalan buntu, malah terus bersemangat menyampaikan pidato, menulis dan memberi kenyataan kepada media tentang bahasa Melayu.

Menduduki kerusi panas Ketua Pengarah DBP memberi peluang kepada Hassan mentadbir institusi yang ditugaskan membina dan mengembangkan bahasa dan sastera. DBP diperhebat sebagai penerbit karya-karya kesusasteraan dan bahasa Melayu yang terbesar di negara ini. Kesungguhan dan pengalaman yang luas dalam lapangan penyelidikan menjadi pemangkin pentadbir yang cukup disegani. Malah telah memberikan perhatian yang serius terhadap perancangan bahasa dan sastera. Dari segi bahasa, DBP bawah pimpinannya berjaya memperkemas dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang moden dan saintifik. Serentak dengan tugas tersebut, DBP juga telah menumpukan lebih perhatiannya kepada masalah kesusasteraan, malah memperluas kegiatannya dan menjadi penerbit buku kesusasteraan Melayu yang terbesar di negara ini.

Hassan dilahirkan pada 8 Disember 1936 di Muar, Johor adalah anak sulung daripada lapan adik beradik dan menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Mersing (1942-1943) dan Sekolah Melayu Muar (1945-1948). Kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi Muar hingga lulus peperiksaan Sijil Persekolahan pada tahun 1955. Memasuki Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan lulus Sijil Tinggi Pelajaran (1957). Mulai tahun 1959, Hassan melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera.

Hassan adalah antara 13 mahasiswa yang menentang cara pengajaran dan sistem pengajian Melayu di universiti ketika itu. Malah pernah berucap bagi pihak kumpulan 13 menyeru supaya diwujudkan suatu sistem pengajian terbuka. Turut terlibat sama dalam peristiwa itu ialah Allahyarham Ali Haji Ahmad dan Kassim Ahmad. Ternyata perjuangan Hassan terhadap bahasa dan kesusasteraan semarak sejak zaman remaja lagi.

Antarabangsa

Sebagai Ketua Pengarah DBP, Hassan kesempatan melawat ke luar negara atau menghadiri persidangan-persidangan antarabangsa di Amerika Syarikat, Eropah, Rusia, India, Jepun, Korea, Filipina, Thailand, dan Indonesia. Pada tahun 1982, Hassan diundang oleh National Book Trust of India mempengerusikan salah satu sesi dalam Seminar on Book For All at Low Cost di New Delhi. Kemudian sewaktu Persidangan Editor Asia di Singapura pada 1982 Hassan diundang membentangkan kertas kerja mengenai masalah dan teknik terjemahan serta adaptasi. Ternyata tumpuan utamanya bukan sahaja terhadap lapangan perancangan bahasa dan sastera malah malah dalam bidang terjemahan. Setakat ini tiga buah buku tentang organisasi dan pengurusan telah diterjemahkan, masing-masing berjudul Eksekutif yang Berkesan (1984), Aspek Kemanusiaan dalam Perusahaan (1984), dan Sukarnya Membuat Pilihan (1986).

Di samping itu menghasilkan dua buku, Syair (1964) dan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan-Pertubuhan Khasnya (1966) yang kedua-duanya diterbitkan oleh DBP.

Setelah bersara dari DBP pada tahun 1988, Hassan dilantik sebagai Duta Malaysia ke UNESCO. Memandangkan pengalamannya yang luas dalam bidang penerbitan buku, sekembalinya ke Malaysia, Hassan dilantik sebagai Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan hingga akhir hayatnya.

Hassan pernah melahirkan kebimbangan kepada saya tatkala kami berjumpa tahun lalu mengenai sikap sesetengah orang Melayu terhadap bahasa Melayu. Pesannya saya ingat sampai hari ini, "Orang Melayu mesti sedar kalau mereka membiarkan bahasa Melayu musnah, perjuangan mereka juga berakhir sebab bahasa bukannya sistem linguistik sahaja tetapi alat membentuk pemikiran dan budaya bangsa. Kalau orang Melayu sudah tidak pandai lagi berfikir dalam bahasa Melayu, mereka akan jadi bangsa kacukan dalam berfikir."

www.utusan.com.my

Tuesday, August 16, 2011

PERKASA BERI KATA DUA

“Jika tiada tindakan diambil berhubung tiga isu ini dalam waktu tertentu, kami akan melakukan sesuatu,” kata beliau sambil menambah, kelewatan keadilan bermakna keadilan dinafikan.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini tidak menjelaskan tindakan mereka jika gesaan pihaknya tidak menemui hasil atau dipenuhi. Katanya, Perkasa “sangat bersabar” meskipun berhadapan dengan penghinaan daripada pihak lain khususnya berhubung perhimpunan Bersih 2.0.

“Kami dipanggil pengecut kerana tidak meneruskan perarakan kami apabila kami menghormati undang-undang dan nasihat Yang di-Pertuan Agong,” selar Ibrahim. Pada awalnya Perkasa merancang untuk mengadakan perhimpunan balas pada 9 Julai lalu, hari Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan menuntut pilihan raya bebas dan adil.

“Jadi sekarang, jika kerajaan tidak mengambil tindakan dalam tempoh masa tertentu, kami akan ambil tindakan dan kerajaan tidak harus menyalahkan Perkasa,” katanya. “Kami diminta untuk menghormati kerajaan dan undang-undang, dan kami melakukan semua itu, tetapi kerajaan tidak responsif,” katanya lagi.

Ibrahim juga mendakwa “majoriti senyap” kemungkinan akan menghukum pentadbiran Najib jika beliau gagal menyelesaikan tiga isu terbabit. Katanya, satu dunia tahu bahawa Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan yang bertindak secara tidak sah apabila meneruskan perhimpunan 9 Julai.

Katanya, pakar-pakar asing juga merumuskan bahawa 99.99 peratus lelaki dalam rakaman video seks adalah Anwar. Mengenai konspirasi Kristian yang dibawa oleh Utusan Malaysia, akhbar milik Umno, Ibrahim berkata seorang ahli DAP beragama Islam telah membuat laporan polis dan ia menunjukkan adalah betul.

“Apa lagi kita perlukan? Apa lagi perlu disoal siasat? Ada 4,000 laporan polis ke atas Ambiga, sebagai contoh. “Kami mahu Peguam Negara teruskan dengan tindakan ke atas isu-isu ini dan sama ada ada kes prima facie, biar mahkamah yang menentukan,” kata Ibrahim.

www.m.yahoo.com
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez